TAFSIR SURAH ALHASYR (PENGUSIRAN)
1.Segala yang ada di langit dan di bumi tetap menngucap tasbih kepada Allah,dan Dialah yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.
Sebab Turun Ayat
Al-Bukhari
mentakhrijkan (mengemukakan) riwayat daripada Ibn 'Abbas
r.a,katanya;surah al-Anfal diturunkan semasa peperangan Badar dan surah
al-Hasry diturunkan semasa peristiwa Bani Nadhir.
Al-Hakim mentakhrijkan di dalam Sahihnya,daripada Saidatina 'Aisyah
r.a, katanya:'Peperangan bani Nadhir (iaitu salah satu kumpulan
Yahudi)berlaku selepas enam bulan peperangan Badar.Tempat tinggal dan
kawasan tanaman mereka berada di suatu tempat di Madinah.Rasulullah
S.A.W telah mengepung mereka sehingga mereka berjaya diusir
keluar.Mereka hanya dibenar membawa bersama barang-barang keperluan dan
harta benda mereka sekadar muatan unta sahaja;dan tidak dibenarkan
membawa sebarang senjata.Lalu Allah SWT telah menurunkan ayat mengenai
mereka (bermaksud):"Segala yang ada di langir dan di bumi tetap mengucap
tasbih kepada Allah."(al-Hasyr,59:1).
Suatu riwayat lain menyebut bahawa setelah Rasulullah s.a.w tiba di
Madinah,Baginda telah membuat perdamaian dengan Bani Nadhir dengan
menetapkan agar mereka tidak membantu dan juga tidak memusuhi
Baginda.Apabila tanda-tanda kemenangan berpihak kepada kaum muslimin
dalam peperangan Badar,mereka menyatakan bahawa:"Baginda (Rasulullah
s.a.w) adalah nabi yang diutuskan" (yakni mereka berpura-pura gembira
dengan kemenangan tersebut).Namun tatkala orang-orang islam tewas di
dalam peperangan Uhud,mereka mula belot dan memungkiri
perjanjian.Kemudian Ka'ab bin al-Asyraf keluar bersama 40 orang yang
menunggang unta menuju ke Mekah.Mereka membuat sumpah setia dengan Abu
Sufian.Lalu Rasulullah s.a.w mengutuskan Muhammad bin Maslamah untuk
bertindak.Beliau telah membunuh Ka'ab dengan menggunakan tipu
helah.Setelah itu,beliau bersama beberapa pasukan tentera menyerang pada
waktu pagi.Mereka telah dikepung sehingga mereka bersetuju untuk
berundur.Kebanyakkan daripada mereka melarikan diri ke Syam,manakala
sebahagian yang lain menuju ke Khaybar dan al-Hijrah.Oleh itu,Allah SWT
menurunkan ayat ini.
Tafsir dan Ulasan ayat 1.
Sesungguhnya
semua ciptaan Allah SWT yang berada di langit dan dibumi sentiasa
membuktikan bahawa Allah SWT Maha Suci daripada segala kekurangan.Semua
makhluk memulia dan memuja kekudusan Allah SWT.Mereka juga turut
berselawat kepadaNya dan mengesakanNya,sama ada secara terang-terangan
melalui lidah atau di dalam hati(dengan kata lain,secara amalan
perbuatan dan juga ungkapan kata-kata).Semua itu adalah sesuatu
pengakuan terhadap kebesaranNya,tunduk dan patuh kepada
kemulianNya.Dialah yang Maha Mempertahankan,Maha Agung,Maha Gagah,Maha
Kuasa.Tiada siapa yang dapat menandingi kekuasaanNya.Dialah juga yang
Maha Bijaksana untuk mencipta,menetap,mengurus dan mengatur segala
sesuatu pada kedudukannya yang tepat.Sekalipun sehingga sekarang manusia
tidak mampu untuk mengetahui segala hikmah pengurusan Allah SWT.
Ayat di atas adalah seumpama ayat :-
"Ketujuh-tujuh
langit dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya,sentiasa
megucap tasbih bagiNya,dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan
memujiNya,akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka."(al-Isra',17:44).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan